Halaman

Ahad, 5 Februari 2012

Liga Malaysia: 18 Pemain, Jurulatih Kena Gantung

KUALA LUMPUR: Lapan belas pemain dan seorang jurulatih skuad Piala Presiden yang terbabit dalam rasuah bola sepak menghadapi hukuman gantung seumur hidup atau larangan dua tahun menyertai sebarang aktiviti dan pertandingan bola sepak di bawah naungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat EXCO FAM yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, di sini semalam.
Nama pemain serta jurulatih skuad Piala Presiden Negeri Sembilan, T-Team dan MP Muar itu serta jenis hukuman akan diumumkan oleh FAM minggu depan.
“Ini membuktikan FAM bertindak tegas terhadap perilaku mana-mana pemain dan pegawai pasukan. Saya harap perkara ini akan menjadi pengajaran kepada pemain lain,” titah baginda.

Sebelum ini, kancah bola sepak tempatan digegarkan isu rasuah apabila beberapa pemain pasukan Perlis disoal siasat kerana disyaki menerima wang daripada bookie untuk mengatur perlawanan ketika dibelasah 7-2 oleh MP Muar dalam aksi pertama Liga Perdana musim ini.

Sebagai langkah awal membanteras kegiatan itu, FAM melaksanakan pendekatan 3E (education, engagement, enforcement) atau pendidikan, pembabitan dan penguatkuasaan untuk membanteras kegiatan rasuah dalam arena bola sepak tempatan.

Tengku Abdullah juga berkata, melalui pendekatan 3E, selepas ini semua proses pendaftaran pemain perlu melalui satu badan khas yang akan ditubuhkan bagi mengenal pasti pemain yang memiliki rekod buruk.
“Kalau ada pemain yang mempunyai rekod tidak baik, kita tidak benarkan mereka beraksi dan lesen tidak akan dikeluarkan,” titah baginda.

sumber: berita harian

Tiada ulasan:

SHARE!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ANAK BUAH SAYA...