Halaman

Rabu, 28 September 2011

BINTANG MALAYSIA YANG BAKAL MENUAI EMAS DI SUKAN OLIMPIK LONDON TAHUN DEPAN: BRYAN NICKSON LOMAS

ATLET terjun negara, Bryan Nickson Lomas memang hebat. Mana tidaknya, semalam dia menempah satu lagi slot ke Sukan Olimpik 2012 di London. Ia dilakar pada hari terakhir Kejohanan Terjun Piala Asia ke-4 yang berlangsung di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil.
Bryan, yang beraksi dalam acara 10 meter platform individu lelaki, memenangi pingat emas selepas memungut 480.50 mata untuk mengalahkan rakan senegara, Ooi Tze Liang yang meraih 450.80 mata.
Pingat gangsa acara tersebut menjadi milik penerjun Indonesia M. Nasrullah yang memungut 396.20 mata.
Bryan sebelum ini telah menempah tiket ke temasya sukan terbesar dunia itu menerusi acara 3m papan anjal individu lelaki pada Kejohanan Dunia awal tahun ini.
Beliau berkata apa yang lebih penting baginya ialah melayakkan diri ke Sukan Olimpik.
Dengan kejayaan terbaharu ini, ini bermakna Bryan akan beraksi dalam dua acara di London tahun depan.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada pasukan China yang menarik diri pada saat-saat akhir, justeru mengurangkan tekanan saya untuk memenangi acara ini,” katanya.
Dalam pada itu, dua wakil negara yang beraksi dalam acara 3m papan anjal wanita, Cheong Jun Hoong dan Leong Mun Yee mempamerkan rentak yang mengecewakan selepas masing-masing hanya menduduki tempat ketiga dan kelima.
Jun Hoong memperoleh pingat gangsa selepas memungut 310.45 mata manakala Mun Yee mengumpul 303.10 mata.
Pingat emas dan perak dalam acara itu dimenangi penerjun dari China, Zhang Jun dan Jia Dong Jin.
Zhang menang emas dengan 338.15 mata manakala Dong Jin memperoleh perak selepas mengumpul 336.30 mata.
Setiausaha Kehormat Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Edwin Chong, berkata, beliau berpuas hati dengan pencapaian skuad terjun kebangsaan kali ini terutamanya penerjun junior.
"Penerjun junior kita membuat penampilan pertama pada kejohanan berprestij ini dan mereka bersaing dengan penerjun yang mempunyai standard yang lebih tinggi, jadi saya berpuas hati dengan apa yang mereka pamerkan.
“Namun yang lebih penting bagi saya ialah mereka dapat menimba pengalaman bersaing dengan penerjun dari negara-negara lain,” katanya.

SUMBER: KOSMO

Sabtu, 24 September 2011

Neutrino lebih laju daripada cahaya, lepas ni apa lagi? keajaiban Allah SWT

PARIS, Perancis - Sekumpulan ahli fizik melaporkan kelmarin bahawa sejenis partikel yang yang dinamakan neutrino boleh bergerak lebih laju daripada cahaya.
Partikel itu lebih kecil daripada sebutir atom.
Jika penemuan tersebut disahkan, ia boleh mencabar teori relativiti yang diperkenalkan oleh saintis legenda, mendiang Albert Einstein.
Teori berkenaan menyatakan tiada unsur yang dapat mengatasi kelajuan cahaya di alam semesta ini.
Kumpulan ahli fizik terbabit memberitahu, uji kaji yang dilakukan di Pusat Penyelidikan Nuklear Eropah (CERN), Switzerland dan sebuah makmal di Itali menunjukkan partikel itu bergerak selaju 300,006 kilometer sesaat.
Pergerakan partikel itu adalah sekitar enam km/s lebih laju daripada kelajuan cahaya.
"Keputusan ini amat mengejutkan," kata seorang jurucakap eksperimen berkenaan yang dikenali sebagai OPERA, Antonio Ereditato.
"Kami mahu mengukur kelajuan neutrino tetapi kami tidak menjangkakan akan membuat penemuan luar biasa seperti ini," tambahnya. - AFP 

SUMBER: KOSMO ONLINE

Jumaat, 23 September 2011

SUMBER INSPIRASI SAYA UNTUK TERUS BERJUANG DEMI SUKAN SEKOLAH

ENTRY WAJIB BACA: BAJET 2012 - NAJIB KAJI BONUS LUMAYAN ATAU NAIK GAJI SEKTOR AWAM

KUALA LUMPUR, 22 Sept — Datuk Seri Najib Razak sedang mempertimbangkan bonus lumayan atau kenaikan gaji bagi 1.3 juta kakitangan kerajaan — bakal diumumkan menerusi Bajet 2012 untuk menangani kenaikan kos sara hidup dan juga menjamin sokongan tenaga kerja sektor awam pada pilihan raya umum ke-13.
The Malaysian Insider difahamkan perdana menteri telah meminta Kementerian Kewangan agar mengkaji kos kedua-dua opsyen itu.
Langkah itu mirip pendekatan diambil bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2007, setahun sebelum menjelang pilihan raya umum ke-12.
Ketika itu Abdullah mengumumkan kenaikan gaji bagi 1.02 juta kakitangan awam sehingga 35 peratus dan menaikkan kadar bantuan sara hidup sebanyak 100 peratus.
“Najib sedang mempertimbangkan bonus satu bulan setengah untuk dibayar akhir tahun ini atau menaikkan gaji apabila mengumumkan Bajet 2012. Ia bajet menggunakan segala wang yang ada,” kata satu sumber kepada The Malaysian Insider.
Najib (gambar) yang juga Menteri Kewangan akan membentangkan Bajet 2012 pada 7 Oktober ini.
Bulan lalu, kerajaan membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam. Kerajaan juga bersetuju memberi bayaran khas sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan.
Perdana Menteri berkata, kerajaan berharap pemberian bonus dan bayaran khas ini dapat meringankan beban penjawat awam dan pesara kerajaan dan membantu mereka membuat persediaan menyambut Aidilfitri. Ia melibatkan kerajaan kos RM2 bilion.
Kakitangan awam lazimnya dilihat sebagai asas sokongan bagi Barisan Nasional (BN) tetapi perikatan itu berhadapan dengan prestasi buruk pada Mac 2008 meskipun Abdullah mencatatkan penguasaan 91 peratus kerusi di Parlimen.
Najib berusaha untuk keluar daripada situasi 2008 dengan mengumumkan beberapa pembaharuan termasuk mahu memansuhkan beberapa undang-undang termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri sebagaimana diumumkan Khamis lalu.
“Perdana Menteri perlu mengatasi isu-isu asas termasuk ekonomi. Bajet akan mengatasi isu sara hodup selepas pemotongan subsidi baru-baru,” kata satu lagi sumber kepada The Malaysian Insider.
Baru-baru ini Cuepacs, kesatuan sekerja induk sektor awam, menuntut bonus dua bulan.

SUMBER: CEUPACS



Apa2 pun, tunggulah 7 Oktober 2011 nie camne. jadi ke x..hehe

Rabu, 21 September 2011

Berita Harian Online | Guru merungut program SAPS lebih sukar dari manual

Guru merungut program SAPS lebih sukar dari manual

Sistem kumpul data murid guna komputer tidak semudah seperti diuar-uarkan

SISTEM Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) diperkenalkan baru-baru ini bagi membolehkan tugas pengumpulan data dilakukan dengan secara lebih sistematik dan praktikal berkaitan data mata pelajaran, enrolmen murid, data guru mata pelajaran dan profil sekolah.
Semua guru sekolah rendah dan menengah termasuk sekolah berasrama penuh perlu mengisi markah ujian Mac, peperiksaan pertengahan tahun, peperiksaan percubaan atau ujian Ogos dan peperiksaan akhir tahun di SAPS ini. Untuk menjadikan sistem ini lebih sistematik, tempoh masa ditetapkan dan guru perlu mematuhinya.
Kebaikan sistem ini ialah selepas guru memasukkan data dan markah pelajar, ia akan secara automatik membuat analisis dalam pelbagai aspek, sekali gus menjimatkan banyak masa guru yang mungkin pada sedekad dulu terpaksa membuat pengiraan analisis secara manual.

Tekan mesin pengira setiap kali mahu mencari peratusan dan purata. Berpinar mata mencari berapa jumlah A yang murid peroleh dan pelbagai lagi.

Malah, dulu guru kelas terpaksa meminta markah setiap mata pelajaran daripada guru yang mengajar dan mengisinya secara manual dalam borang khas. Semua perkiraan dilakukan secara manual dan diisi pula dalam buku laporan kemajuan murid. Sistem dalam talian diakui lebih memudahkan dan lebih sistematik serta menjimatkan banyak masa.

Namun, sistem yang sebenarnya dicipta untuk memudahkan mereka akhirnya menyebabkan lebih ramai yang terseksa. Ada guru terpaksa bersengkang mata sehingga jam 3 pagi semata-mata untuk mengisi markah pelajar dan ada pula yang menghadapi masalah kerana tidak mempunyai komputer atau talian internet di rumah.
Namun selepas menggunakan SAPS buat seketika, ramai guru merungut dan melepaskan kemarahan mereka dalam blog dan menulis surat kepada akhbar.

Antaranya, yang dipetik daripada blog adalah seperti berikut:

“Idea mewujudkan sistem ini memang baik tetapi program berkenaan susah untuk dicapai dan selalu terkeluar daripada talian dan ada banyak masalah lain.

“Sebagai guru yang terbabit dengan SAPS, saya sudah beberapa kali membuka sistem ini untuk memasukkan markah tetapi setiap kali markah mahu disimpan, sistem ini akan terkeluar daripada talian. Saya terpaksa mengisi semula markah dan ini ia berlaku beberapa kali.

“Kami terpaksa menunggu sehingga pagi semata-mata untuk mengisi markah ujian satu, peperiksaan pertengahan tahun, menentukan nilai letak kerja (TOV) dan jangkaan hasil sasaran akhiran (ETR) setiap pelajar. Bayangkan, jika ada enam kelas yang markah pelajarnya perlu diisi dan setiap satu kelas pula ada 40 pelajar.

“Yang peliknya dalam taklimat kami diberitahu ketika menggunakan SAPS, kami tidak boleh menekan butang ‘enter’ pada papan kekunci kerana akan mengganggu sistem. Ini adalah kali pertama saya mendengar satu sistem yang direka akan rosak jika tertekan butang ‘enter’.

“Masalah lain yang dihadapi ialah ada pelajar yang tiada dalam senarai kelas tetapi apabila didaftar, jawapan yang diterima ialah ‘pelajar telah didaftarkan’ tetapi jika telah didaftarkan kenapa nama pelajar tiada dalam senarai?”

Di mana silapnya? Apakah sengaja kementerian mencipta satu sistem untuk menyusahkan guru sedangkan perlu diakui guru sudah terlalu banyak dibebankan. Rasanya bukan itu alasannya kerana yang paling tepat ialah sistem itu masih terlalu mentah dan perancangan untuknya tidak mengambil kira banyak perkara.

Dekan Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Abdul Razak Hamdan, berkata kebanyakan sistem dalam talian (online) di negara ini tidak stabil pada peringkat permulaan dan menyebabkan masalah kepada pengguna, namun ia akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

“Kebanyakan sistem dibangunkan menggunakan teknologi sedia ada dan dirasakan memadai untuk kegunaan pada masa itu tetapi selepas digunakan secara meluas, ia tidak mampu menampung keperluan semasa dan perlu peningkatan.
Masalahnya, untuk mempertingkatkannya memerlukan kos tinggi dan itu yang menjadi halangan banyak pihak.

“Kita rujuk kepada sejarah Unit Pusat Universiti (UPU) pun pada mulanya ada masalah. Selalu tidak stabil tetapi selepas dipertingkatkan, ia sudah semakin baik dan stabil. Ia membabitkan sistem itu sendiri dan talian komunikasi. Jika salah satu tidak stabil atau lembab, ia akan menyusahkan pengguna.

“Kebanyakan sistem menggunakan talian terbuka (public). Jika ia sudah ditentukan untuk menerima sebanyak dua megabait (MB), tetapi yang menggunakannya melebihi jumlah itu, ia pasti akan menyebabkan sistem itu perlahan.
“Setiap sistem juga ada had penggunaan pada satu masa. Jika dihadkan sebanyak 1,000 pengguna tetapi pada satu masa pengguna melebihi jumlah itu, ia juga akan menyebabkan sistem menjadi lembab.

“Selalunya, pembangun sistem akan membuat anggaran berapa ramai pengguna akan gunakan sistem itu terutama pada waktu puncak dan menetapkan jumlah tertentu. Penetapan ini perlu kerana semakin besar ruang penggunaannya, semakin mahal sistem itu untuk dibangunkan. Malangnya, ada ketika berlaku, ramalan mereka tidak tepat dan pengguna melebihi anggaran,” katanya.

Beliau berkata, ada sistem yang menggunakan kaedah ‘server balancing’ iaitu membolehkan ia dipindahkan ke pelayan lain jika kuota dalam satu pelayan sudah penuh. Ia membolehkan sistem tidak perlahan jika melebihi kuota yang sudah ditetapkan tetapi membabitkan kos yang tinggi.

Masalahnya, katanya, kebanyakan pengguna akan menggunakan sistem itu secara maksimum pada waktu puncak terutama ketika tarikh tamat tempoh semakin dekat. Ia pasti menyebabkan sistem itu tidak mampu menampung penggunaannya yang banyak. Justeru, pemantauan pada waktu itu perlu dipertingkatkan.

“Selalunya, masalah utama bermula daripada sistem komunikasi. Jika talian internet yang digunakan perlahan, ia juga akan memberi kesan. Masalah lain ialah kebanyakan pembangun sistem salah membuat perkiraan jumlah pengguna. Mereka boleh tinggikan had pengguna asalkan mampu memperuntukkan kos yang tinggi.

“Dalam kes ini, sewajarnya mereka buat percubaan tekanan (stress test) sebelum dilancarkan. Pastikan ia mampu menangani seramai mungkin pengguna termasuk guru terutama ketika waktu puncak. Perlu buat perkiraan secara tepat berapa banyak had diperlukan untuk menangani seberapa ramai guru dan sekolah.

“Selain itu, tidak semua sistem sesuai digunakan bagi semua negeri dengan kapasiti yang sama. Sudah pasti tidak sama jumlah pengguna di Perlis dan Selangor. Pelayan yang digunakan perlu stabil.

“Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah adalah untuk memasukkan data. Ia sewajarnya gunakan sistem simpanan secara automatik (autosave). Maksudnya, setiap kali data dimasukkan, ia disimpan secara automatik dan tidak hilang jika tiba-tiba berlaku masalah talian. Kosnya tinggi tetapi perlu dalam kes pengendalian data,” katanya lagi.

“Kelemahan utama kebanyakan sistem di negara ini ialah ambil mudah dan jadikan pengguna sebagai bahan ujian. Asalkan ia nampak berkesan di sesetengah kementerian, ia secara mudah digunakan pula di kementerian yang lain. Cara ini salah kerana tidak semuanya sama,” katanya.

Justeru, adalah wajar kementerian lebih peka dalam hal ini dan memastikan apa saja sistem yang mahu dibangunkan tidak menjadi beban kepada pengguna, sekali gus menambahkan tekanan mereka. 


Isnin, 19 September 2011

WAJIB BACA: PELAJAR MAUT DIHEMPAP TIANG GOL

Pelajar maut dihempap tiang gol


TIANG gol yang menghempap Muhammad Fakhrul sehingga maut ketika bermain bola sepak di padang SK Kampung Jawa 1, Klang semalam.


KLANG - Hasrat seorang pelajar tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Jawa 2 di sini untuk memiliki sepasang kasut bola tidak kesampaian apabila dia maut setelah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala akibat dihempap tiang gol ketika bermain bola sepak semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, Allahyarham Muhammad Fakhrul Amin Abdul Rahman, 11, anak keempat daripada lapan beradik dikatakan bersama-sama rakan-rakannya sedang bermain bola di padang SK Kampung Jawa 1. Dia mengalami pendarahan teruk selain retak tempurung kepalanya.
Bapa mangsa, Abdul Rahman Sarbaini, berkata, beliau yang berada di rumah terkejut apabila dipanggil seorang jirannya mengatakan anaknya mengalami kemalangan akibat bermain bola di padang kira-kira 50 meter dari kediamannya di kuarters guru Kampung Jawa.
"Apabila sampai ke tempat kejadian, saya melihat banyak darah keluar daripada kepalanya dan dia (Muhammad Fakhrul) sudah terbaring tidak sedarkan diri.
"Melihat kecederaannya yang parah, saya terus menghantarnya ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk menerima rawatan namun dia gagal diselamatkan," katanya.

SUMBER: KOSMO ONLINE

Selasa, 13 September 2011

SAH CUKAI TOPUP DITANGGUHKAN...HOYEEE..

TELCO setuju tangguh kutipan cukai perkhidmatan prabayar: Rais


2011/09/12

KUALA LUMPUR: Syarikat telekomunikasi (TELCO) bersetuju menangguhkan kutipan cukai perkhidmatan enam peratus daripada pengguna prabayar sehingga perbincangan semula dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata antara cadangan yang dibincangkan bersama TELCO adalah caj enam peratus itu hanya dikenakan kepada pengguna yang membeli pek permulaan prabayar.
“Setakat ini, itu saja yang kita boleh beritahu.
"Kerajaan akan mengambil kira sumbangan RM6 bilion oleh TELCO kepada sumber pendapatan negara dari 1998 hingga kini sebelum membuat sebarang keputusan," katanya pada sidang media selepas mesyuarat bersama TELCO, di Angkasapuri, di sini, sebentar tadi.

Hadir sama, wakil dari Celcom Axiata Berhad (Celcom), DiGi Telecommunications Sdn Bhd (DiGiTel), Maxis Berhad, dan UMOBILE Sdn Bhd (U Mobile).

Minggu lalu, TELCO mengumumkan mereka akan mula mengutip cukai perkhidmatan enam peratus untuk perkhidmatan prabayar Khamis ini.


SUMBER: BERITA HARIAN

Lanjut umur bersara: JPA perlu kaji terlebih dulu




2011/09/12

PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu membuat kajian terlebih dahulu berhubung cadangan melanjutkan umur persaraan penjawat awam daripada 58 kepada 60 tahun.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah, berkata ia kerana JPA harus mengambil kira kesannya terhadap tenaga kerja baru, terutama pelajar tajaannya yang akan menamatkan pengajian.
"JPA banyak membuat tajaan kepada penuntut yang cemerlang daripada semasa ke semasa dan pada masa yang sama kita juga mengusahakan semua pelajar terbabit memperolehi pekerjaan, sama ada dalam sektor awam ataupun swasta," katanya di sini.
Abu Bakar diminta mengulas cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang antara lain berpandangan 'orang lama' boleh menyumbang kepada kecekapan sistem penyampaian bersandarkan pengalaman mereka.

Mengulas lanjut, Abu Bakar yang secara peribadinya bersetuju dengan cadangan itu, berkata di negara maju umur persaraan penjawat awam adalah antara 60 dan 65 tahun.

"Kita bersara pada umur 58 tahun adalah lebih kurang sama macam Bangladesh dan negara yang penjawat awamnya bersara pada umur 58 semakin kurang.

"Jika berdasarkan kepada standard dan tahap kesihatan kita, patut bersara pada umur 60 tahun. Ini yang dikatakan negara membangun dengan maju," katanya.
Beliau juga berpandangan cadangan tersebut wajar dipertimbang memandangkan Malaysia bakal menjadi negara maju dalam tempoh sembilan tahun lagi menerusi Wawasan 2020.

"Di negara maju umur bersara adalah 65," katanya.

Bagaimanapun, katanya, jika cadangan itu dilaksana penjawat awam akan diberi pilihan sama ada untuk bersara pada umur 58 atau 60 tahun.

"Sesiapa yang nak kerja sehingga umur 60 tahun, mereka boleh terima opsyen tersebut, dan kalau nak bersara pada umur 58 pun boleh, tidak ada paksaan," katanya. - BERNAMA


sumber:
berita harian

POST MORTEM PEPERIKSAAN PENGGAL KEDUA PENDIDIKAN SIVIK DAN KEWARGANEGARAAN

post mortem peperiksaan penggal kedua pendidikan sivik dan kewarganegaraan

POST MORTEM PEPERIKSAAN PENGGAL PERTAMA PENDIDIKAN SIVIK DAN KEWARGANEGARAAN

post mortem peperiksaan penggal pertama pendidikan sivik dan kewarganegaraan

POST MORTEM PEPERIKSAAN GERAKAN PANITIA PENDIDIKAN SIVIK DAN KEWARGANEGARAAN

post mortem peperiksaan gerakan panitia pendidikan sivik dan kewarganegaraan

SHARE!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ANAK BUAH SAYA...