Halaman

Ahad, 30 Disember 2012

Bantuan awal persekolahan diagih

Kementerian Pelajaran akan mula mengagihkan wang bantuan khas awal persekolahan sebanyak RM100 kepada 10,019 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara secara berperingkat bermula 15 Januari depan.
Bahagian Pengurusan Maklumat kementerian itu memaklumkan, kaedah penyaluran bayaran dibuat ke akaun Kumpulan Wang Kerajaan (KWK) sekolah atau akaun khas Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) bagi sekolah yang tidak mempunyai akaun bank.
Menurut kenyataan tersebut, mana-mana sekolah yang menerima kurang peruntukan, perlu membuat permohonan tambahan peruntukan beserta penyata bank sekolah dan jumlah yang diperlukan kepada Bahagian Kewangan kementerian secepat mungkin.
Kementerian Pelajaran turut menegaskan bahawa sebarang pemotongan bantuan tersebut sama sekali tidak dibenarkan.
''Tarikh pemulangan lebihan peruntukan juga ditetapkan selewat-lewatnya pada 31 Mac 2013 kepada mana-mana sekolah yang menerima lebihan peruntukkan bantuan tersebut,'' kata kenyataan itu.
Di bawah Bajet 2013 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak September lalu telah meluluskan peruntukkan RM540 juta bagi pemberian Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100 kepada murid Tahun 1 hingga Tingkatan 5 bagi sesi persekolahan tahun 2013.
Bantuan ini bertujuan meringankan beban perbelanjaan persekolahan pada awal tahun yang ditanggung oleh ibu bapa atau penjaga.
Murid atau pelajar yang layak menerima bantuan tersebut mesti berstatus warganegara Malaysia, bersekolah kerajaan dan sekolah bantuan, murid Tahun 1 hingga Tingkatan 5 atau setaraf dengannya bagi persekolahan tahun 2013.
Pada masa yang sama, kenyataan tersebut turut meminta setiap Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Daerah memaklumkan kepada sekolah mengenai pelaksanaan bantuan antaranya termasuklah melalui surat siaran, garis panduan dan pemantauan bagi memastikan pelaksanaan pembayaran bantuan mengikut prosedur dan peraturan kewangan.
Pihak terlibat perlu melaporkan rumusan agihan Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100 kepada kementerian selewat-lewatnya pada 28 Februari depan mengikut format yang ditetapkan.
Selain JPN dan daerah, pihak sekolah juga tidak terkecuali berperanan dalam perkara itu antaranya termasuklah memastikan murid yang layak menerima bantuan, menyemak dan merekod peruntukan yang diterima ke dalam Buku Tunai KWK, dan mengeluarkan resit rasmi pejabat apabila peruntukan telah sah dimasukkan ke dalam akaun KWK.
Sekolah juga perlu mengeluarkan wang bantuan daripada bank dan mengagihkan secara tunai kepada ibu bapa atau penjaga murid dalam tempoh 14 hari bekerja daripada tarikh bantuan diterima.
Pihak sekolah juga perlu memastikan ibu bapa atau penjaga menurunkan tanda tangan ke atas Senarai Akuan Penerimaan atau Penolakan Bantuan dengan disaksikan dua guru sebagai saksi.
Sekolah yang telah membuat agihan bantuan ini kepada murid yang akan berpindah sekolah perlu meletakkan cop 'telah bayar' bantuan khas RM100 pada borang perpindahan sekolah murid bagi mengelakkan berlakunya pertindihan agihan bantuan berkenaan di sekolah baharu nanti.
Bagi memastikan tidak ada murid yang tercicir daripada menerima bantuan tersebut, sekolah diminta mendahulukan peruntukkan sedia ada sekolah seperti wang SUWA atau lain-lain peruntukan sekiranya peruntukkan asal tidak mencukupi.
Pengetua atau guru besar dinasihatkan memohon secara rasmi perkhidmatan polis pengiring daripada Ketua Polis di negeri masing-masing dalam urusan pengeluaran wang melebihi jumlah RM10,000.

CUEPACS mahu kerajaan umum jadual gaji segera

KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu kerajaan mengumumkan jadual gaji lengkap untuk pekerja sektor awam secepat mungkin bagi memastikan mereka dapat menikmati pergerakan gaji yang mantap.
Setiausaha Agungnya, Loke Yim Pheng berkata, dengan adanya jadual gaji baharu, ia dapat mengatasi masalah pekerja yang akan menghadapi masalah mencapai tahap gaji maksimum atau gaji mati tahun depan.
"Awal tahun depan, dianggarkan hampir 50,000 penjawat awam akan menikmati gaji maksimum, kalau mereka tidak ada jadual gaji lengkap bermakna mereka tidak dapat pergerakan gaji," katanya di sini semalam.
Sementara itu, beliau yang juga Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan berkata, cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengambil guru dari India yang mahir dalam bahasa Inggeris mengajar di sini merupakan cadangan yang baik.
Beliau berkata, kemasukan guru dari negara luar dapat berkongsi kepakaran dan idea bagi melahirkan pelajar kreatif dan inovatif.
"Namun, untuk jangka panjang, kita perlu membina dan membentuk guru berkualiti dan bertaraf antarabangsa, justeru mereka juga boleh berkongsi idea dan kefasihan dengan negara luar," katanya. - Bernama

Selasa, 18 Disember 2012

11 resolusi bela guru



Kuala Lumpur: Kongres Kesatuan Guru-Guru Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES) mengemukakan resolusi 11 perkara kepada kerajaan untuk membela nasib pendidik dan pesara guru, termasuk penubuhan bank guru.Penubuhan bank yang dicadang diterajui Yayasan Guru Malaysia Berhad itu bertujuan memberi manfaat kepada 430,000 guru dan 5.5 juta murid di seluruh negara.

Tabung Kebajikan Guru Presiden, Jemale Paiman berkata, untuk manfaat pesara guru pula, pihaknya mencadangkan penubuhan organisasi mirip Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), dikenali Lembaga Tabung Kebajikan Guru yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal kebajikan pendidik dan keluarga mereka.

Beliau berkata, resolusi lain termasuk menyerap lebih 60,000 guru lepasan diploma, terutama berusia 50 tahun ke atas dalam skim siswazah tanpa temu duga.

Bagi tujuan itu, kerajaan disaran mewujudkan Skim Perkhidmatan Bersepadu Pelajaran Persekutuan. Skim yang dicadangkan ialah gabungan Skim Perkhidmatan Pelajaran Lepasan Diploma dan Skim Perkhidmatan Siswazah Tanpa Temu Duga pada gred DG 42.
“Kelonggaran khas menerusi skim istimewa kepada mereka berusia 50 tahun ke atas untuk diserapkan dalam skim siswazah sudah dilaksanakan Kementerian Kesihatan dan sesuai diamalkan oleh Kementerian Pelajaran pula,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Resolusi itu diputuskan pada mesyuarat Exco Khas KONGRES, pada Sabtu lalu dan dihantar kepada kementerian dalam tempoh terdekat untuk tindakan lanjut.

Cadangan lain ialah:
  • Menubuhkan majlis guru bertaraf profesional, berdaftar dan bertauliah untuk menjaga dan mengawal pendidik. Ia berfungsi sebagai pengawal dan mengambil tindakan tatatertib atau disiplin, denda dan menggantung atau menamatkan perkhidmatan pendidik yang berkhidmat dengan kerajaan atau swasta, institusi pengajian tinggi dan pusat tuisyen.
  • Menukar pembiayaan pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Pendidikan Nasional (PTPTN) kepada biasiswa. Pelajar yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Dengan Kepujian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) layak untuk menerimanya.

SHARE!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ANAK BUAH SAYA...