Halaman

Selasa, 22 Januari 2013

Penetapan untuk gaji maksimum diumum Feb

22/01/2013 10:21pm

PUTRAJAYA – Kerajaan dijangka mengumumkan penetapan gaji dua hingga lima peratus bagi penjawat awam yang sudah mencapai tahap gaji maksimum atau ‘gaji mati’ pada Februari ini, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Dr Ali Hamsa hari ini.
Beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang membuat kajian teliti bagi menangani masalah penjawat awam yang berprestasi baik dan cemerlang dengan markah 80 peratus ke atas dalam Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) mereka tetapi sudah mencapai gaji maksimum dan tidak memperoleh kenaikan pangkat kerana tiada kekosongan.
"Saya tidak mahu melihat penjawat awam yang menjalankan tugas dengan cemerlang tetapi mendapat gaji statik. Ini yang saya mahu atasi.
“JPA sedang memuktamadkan senarai yang ada. Mereka sedang meneliti rekod perkhidmatan. Selalunya akan ada kenaikan biasa gaji, tetapi dalam kes ini kita mahu selesaikan kes mereka yang sudah mencapai tahap statik.
“Kami perlu berbincang dengan Perbendaharaan mengenai implikasi kewangan. Kerajaan amat positif mengenainya. Mereka faham gaji statik bukannya jawapan kepada penjawat awam yang berprestasi cemerlang,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Sebelum itu, Ali menyampaikan Amanat 2013 kepada kira-kira 4,000 penjawat awam pelbagai kementerian dan jabatan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
Majlis yang dilaksanakan menerusi ‘live-streaming’ itu turut boleh disaksikan penjawat awam di seluruh negara. – BERNAMA

sumber klik sini

SHARE!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ANAK BUAH SAYA...