PAGOH 9 Sept. - Pelan Pembangunan Pendidikan (PPP) 2013-2025 yang
bakal dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada
Selasa ini akan menerima peruntukan khas di bawah Bajet 2013 bagi
memastikan pelaksanaannya berjaya dan berkesan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jumlahnya
masih belum ditentukan dan Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan
secara dasarnya sudah bersetuju dan menyokong keperluan dana itu.
"Perdana Menteri kata akan beri perhatian perkara ini dan minta pihak
Kementerian Pelajaran terjemahkan segala bentuk perakuan yang hendak
dilaksanakan dari segi kewangan diperlukan.
"Setiap perakuan ada kosnya dan ini (jumlah) sedang disediakan, nanti
kita kemukakan untuk beliau teliti tetapi harapan saya dalam Bajet 2013
mungkin ada satu peruntukan khas dapat disediakan," katanya pada sidang
akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pagoh di
Kompleks Sri Pekembar di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Datuk Tahir Taat yang
juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang; Timbalan
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad
yang juga Timbalan Menteri Pertahanan dan ADUN Jorak, Datuk Dr.
Shahruddin Md. Salleh.
Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 yang akan dilancar di Pusat
Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) Selasa ini bertujuan menghasilkan modal
insan unggul, kreatif, berkemahiran tinggi serta berdaya saing di
peringkat antarabangsa melalui sistem pendidikan yang berkualiti dan
bertaraf dunia.
Pelaksanaannya melibatkan tempoh 13 tahun dengan tiga fasa iaitu
gelombang pertama merangkumi perkara yang mudah dilaksanakan dan memberi
impak tanpa memerlukan perubahan struktur dan kewangan sebelum diikuti
gelombang kedua dan ketiga yang masing-masing memakan masa lima tahun.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, peruntukan khas
diperlukan kerana pelan transformasi pendidikan itu mengambil masa
panjang dan setiap fasa mempunyai perancangan yang memerlukan dana lebih
daripada biasa.
sumber: utusan malaysia
sumber: utusan malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan